
Terdahulu, kes itu hari ini ditetapkan untuk sebutan kali pertama di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim K Muniandy.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, kemudian memohon pertuduhan terhadap Muhyiddin dibacakan semula, menurut Berita Harian.
Namun, mahkamah mempersoalkan sama ada terdapat keperluan membaca pertuduhan berkenaan memandangkan pihak pendakwaan masih mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, sebelum ini.
Peguam Rosli Dahlan mewakili Muhyiddin, memberitahu mahkamah pihaknya sudah menghantar representasi ke Pejabat Peguam Negara, bulan lalu.
Wan Shaharuddin memaklumkan pihaknya belum membuat pertimbangan lanjut terhadap permohonan representasi itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Pada 15 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi membatalkan empat pertuduhan atas alasan ia kabur dan tidak berasas. Namun, pada 28 Feb lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan semua pertuduhan itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.
Ahli Parlimen Pagoh itu pada 4 April lalu kemudian memohon supaya kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan membabitkan isu undang-undang kompleks dan berkepentingan awam.
Empat daripada pertuduhan terhadap Muhyiddin membabitkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.
Tiga lagi pertuduhan membabitkan penerimaan wang hasil aktiviti haram sebanyak RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan dalam akaun parti.
Pada 16 Jun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.