
Ketua Bersatu Melaka Rahim Tamby Chik mendedahkannya melalui satu hantaran Facebook yang turut disertakan dengan gambar mereka makan tengah hari bersama beberapa individu lain.
“Khir baharu saja menganggotai Bersatu dan berhasrat untuk berkongsi dan bertukar fikiran dengan pemimpin kanan demi memperkasakan keberkesanan jentera pilihan raya Bersatu dalam menghadapi PRU,” katanya.
Tidak diketahui bila Khir menyertai Bersatu, mengapa beliau membuat keputusan tersebut dan sama ada beliau sudah melepaskan keahliannya dalam Umno.
FMT telah menghubungi Khir untuk mendapatkan ulasan.
Khir, bekas Adun Sungai Panjang selama tiga penggal, pernah dipenjara setahun kerana salah guna kuasa pada 2015 dan dibebaskan dengan parol selepas menjalani hukuman selama enam bulan.
Beliau cuba membuat kemunculan semula dalam politik pada PRU15 pada 2022 dengan mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.
Namun, BN memutuskan untuk mencalonkan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos sebagai calon.
Jamal tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).