Isu peruntukan: Jangan salahkan pembangkang sahaja, kata Hamzah

Isu peruntukan: Jangan salahkan pembangkang sahaja, kata Hamzah

Ketua pembangkang itu turut mempersoalkan adakah parti dalam kerajaan juga bersetuju untuk beri peruntukan kepada pembangkang.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata kerajaan tidak seharusnya menyalahkan Perikatan Nasional dalam soal peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) meminta kerajaan tidak menyalahkan blok pembangkang dalam isu agihan peruntukan wakil rakyat yang didakwa tidak selesai kerana tiada kata sepakat antara mereka.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam beliau mempersoalkan kembali kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkaitan kesepakatan berhubung peruntukan Ahli Parlimen.

“Jangan salahkan di sebelah pihak sini (pembangkang) sahaja, bagaimana pula di sebelah sana (kerajaan)?

“Adakah di sebelah sana (parti-parti dalam kerajaan) sepakat bersetuju untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang,” katanya di Facebook.

Hamzah juga sekali menyatakan kesediaan untuk bertemu perdana menteri berkaitan hal peruntukan walaupun Anwar menegaskan bahawa perkara itu diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Semalam, Anwar meminta PN berunding sesama mereka sebelum mahu berbincang dengan kerajaan mengenai peruntukan wakil rakyat yang telah lama berlarutan.

Beliau berkata buat masa ini Ahli Parlimen pembangkang belum mempunyai kata sepakat berhubung perkara itu.

Tegasnya, kerajaan sentiasa terbuka berbincang dan telah memberikan mandat kepada Fadillah untuk berunding dengan pembangkang.

Februari lalu, Fadillah dipetik berkata hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menemuinya untuk berunding isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.