Bantuan rumah, anak ditawar kursus; kisah ‘pak cik air balang’ dapat perhatian

Bantuan rumah, anak ditawar kursus; kisah ‘pak cik air balang’ dapat perhatian

Kisah Ah Yauddin Ahmad kendong isteri lumpuh ke pasar malam untuk berniaga dapat perhatian Mara dan pempengaruh.

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki ziarah keluarga Ah Yauddin Ahmad di Pangsapuri Meru Ehsan, Klang.
PETALING JAYA:
Kisah peniaga air balang, Ah Yauddin Ahmad, 63, yang menggendong isteri lumpuh turun naik tangga dari tingkat empat untuk ke pasar malam menyentuh hati ramai, malah turut menggerakkan pelbagai pihak tampil dengan bantuan.

Sejak laporan media termasuk FMT tular, keluarga ini mula menerima perhatian orang awam termasuk pempengaruh dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Anak tunggal mereka, Siti Nur Aliah, 21, yang terpaksa melupakan peluang menyambung pengajian demi menjaga ibu dan membantu ayah berniaga ditawarkan peluang kedua.

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki yang menziarahi keluarga itu berkata, pihaknya menawarkan tempat kepada Aliah mengikuti kursus bidang konfeksioneri dan bakeri di GiatMara Klang selama enam bulan secara percuma, termasuk elaun bulanan RM200.

“Saya percaya hanya ilmu dan kemahiran sahaja boleh mengubah kehidupan. Tidak selamanya harus bergantung kepada sumbangan orang ramai ataupun zakat,” katanya di Facebook.

Asyraf menambah, Mara sedia membantu Aliah menjadi usahawan dengan menyediakan geran perniagaan berupa mesin dan peralatan membuat roti serta kek, bernilai RM6,000.

“Aliah akan dibimbing melalui kursus usahawan digital agar mampu memanfaatkan media sosial sebagai platform menjana pendapatan.”

Tersentuh dengan kisah pasangan itu, selebriti Caprice, atau nama sebenarnya Ariz Ramli, turut tampil menghulurkan bantuan dengan menyewa sebuah rumah baharu untuk didiami keluarga itu, menurut video dimuat naik di Instagram.

Sementara itu, Adun Meru Mariam Abdul Rashid ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan persatuan penduduk dan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) untuk membantu keluarga berkenaan, termasuk mendapatkan unit rumah di tingkat bawah.

Beliau menjelaskan pejabatnya sudah beberapa kali menziarahi keluarga ini dan menghantar bantuan sebelum kisah mereka menjadi tular.

“Dari awal lagi kita ambil tahu, bantuan dihulurkan sebelum kisahnya tular,” tambahnya.

Terdahulu, FMT melaporkan Ah Yauddin saban minggu menggendong isterinya Roslina Yusuf, 57, dari tingkat empat pangsapuri mereka untuk ke pasar malam demi mencari rezeki.

Roslina tidak lagi mampu bergerak sendiri selepas diserang angin ahmar serta kehilangan sebelah kaki akibat komplikasi kencing manis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.