Analogi ‘lembu betina’: Pemimpin PAS mungkin langgar undang-undang, kata Azalina

Analogi ‘lembu betina’: Pemimpin PAS mungkin langgar undang-undang, kata Azalina

Menteri undang-undang itu mengingatkan pemimpin PAS agar 'berhati-hati' untuk elak disaman.

azalina
Menurut Azalina Othman Said, pemimpin PAS mungkin telah langgar beberapa peruntukan Kanun Keseksaan apabila banding pemimpin wanita dengan ‘lembu betina’ dan petik ayat al-Quran untuk pertahan hujah.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, pemimpin PAS mungkin telah melanggar beberapa peruntukan undang-undang apabila membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan dan memetik ayat al-Quran untuk mempertahankan analogi tersebut.

Dalam satu hantaran di platform X, Azalina berkata, pemimpin-pemimpin PAS terbabit mungkin telah melanggar beberapa peruntukan, iaitu Seksyen 509, 504 dan 298A Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga seksyen tersebut masing-masing berkaitan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang, mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, serta tindakan yang menyebabkan suasana tidak harmoni.

Beliau tidak menamakan pemimpin-pemimpin berkenaan, tetapi memuat naik tangkap layar dua laporan berita memetik Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran Salman Al Farisi dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kepada mereka yg berkenaan: Jika anda masih membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan pada 2025, tahniah!

“Hati-hati, sebelum kena saman,” katanya menyindir kedua-dua pemimpin PAS itu.

Azalina juga berkata, sesiapa yang menggunakan agama dalam hujah mereka juga boleh dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan kata-kata menghina.

Isnin lepas, portal Malaysiakini melaporkan Salman membandingkan lelaki dengan lembu jantan dan wanita dengan lembu betina bagi menegaskan pentingnya lelaki menjadi pemimpin, berdasarkan pengalamannya menternak haiwan.

Salman mendakwa, lazimnya seekor lembu betina yang akan ‘menentukan segalanya’, manakala lembu jantan hanya bertugas melindungi kumpulannya.

“Sebab itulah, kalau boleh kita jangan jadi seperti lembu yang mengangkat ‘betina’ sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua dan seiringan dengan ayat al Quran dalam surah an-Nisa ayat 34.

“Kesianlah jika kehidupan kita itu disamakan seperti kehidupan lembu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Awal hari ini, Tuan Ibrahim mempertahankan Salman dengan menyatakan bahawa analogi sedemikian sering digunakan dalam karya sastera dan bukan bertujuan merendahkan martabat wanita.

“Dalam sejarah penulisan Islam, terdapat karya seperti Kalilah wa Dimnah yang sarat dengan perumpamaan dan kisah haiwan bagi menyampaikan pengajaran dan nilai moral,” katanya menambah, beliau tidak nampak ‘apa yang seksisnya’ dengan kenyataan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.