6 Ahli Parlimen sokong kerajaan masih dalam blok pembangkang, kata Johari

6 Ahli Parlimen sokong kerajaan masih dalam blok pembangkang, kata Johari

Speaker Johari Abdul menjelaskan perkara itu di sidang Dewan Rakyat susulan pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).

6mp
Enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada pentadbiran Anwar Ibrahim tidak menyatakan ingin meninggalkan pembangkang, menurut Johari Abdul.
PETALING JAYA:
Enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan disahkan masih diletakkan di blok pembangkang, menurut Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Menjawab perkara dibangkitkan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Johari berkata keadaan itu berlaku disebabkan tiada bukti mengatakan enam Ahli Parlimen itu menyatakan sokongan kepada kerajaan dan ingin meninggalkan pembangkang.

Enam wakil rakyat itu adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

“Enam orang ini masih pembangkang. Tidak ada satu ayat mereka ingin tinggalkan pembangkang untuk sertai kerajaan.

“Sebab itu mereka masih di blok pembangkang dan tidak pindah mereka ke blok kerajaan. Mereka berhak tanya dalam blok ini (pembangkang),” katanya di Dewan Rakyat.

Status mereka dibangkitkan susulan persoalan dibangkitkan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengapa banyak soalan di Dewan Rakyat datang dari blok kerajaan.

Menurutnya, ia termasuk soalan daripada Syed Abu Hussin dan Iskandar Dzulkarnain.

Dewan Rakyat juga sedikit kecoh selepas Rosol menggunakan perkataan ‘mambar’ yang tidak difahami oleh Johari dan beberapa Ahli Parlimen DAP sehingga menimbulkan pertikaman lidah dengan Rosol dan Takiyuddin.

Rosol yang menggunakan perkataan mambar itu merujuk kepada enam Ahli Parlimen itu yang dikatakan maksudnya kurang keras.

Bagaimanapun, RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Chong Zhemin (PH–Kampar) meminta Rosol menarik balik perkataan tersebut yang disifatkan perkataan tidak sesuai di dalam Dewan Rakyat.

Johari kemudian menenangkan keadaan dan memberi amaran kepada Rosol dan Ahli Parlimen lain supaya tidak menggunakan perkataan yang tidak difahami maksudnya di dalam Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.