SKMM siasat video gelandangan diberi tulang ayam

SKMM siasat video gelandangan diberi tulang ayam

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

mcmc-skmm-mcmc
SKMM berkata penyebaran kandungan menghina golongan terpinggir bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah memulakan siasatan terhadap satu video tular memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberikan sisa makanan kepada seorang gelandangan.

SKMM dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius perbuatan menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang merendahkan maruah individu hanya demi hiburan murahan atau untuk meraih tontonan.

“Penyebaran kandungan yang menghina golongan terpinggir bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” tegas suruhanjaya itu.

Video berkenaan yang mencetuskan kemarahan orang ramai sejak semalam dipercayai memaparkan sekumpulan pempengaruh memberi tulang ayam dan sisa makanan kepada seorang gelandangan, dipercayai sebagai sebahagian daripada publisiti untuk kandungan media sosial mereka.

Salah seorang daripada mereka memohon maaf atas aksi publisiti itu, sambil menjelaskan gelandangan terbabit bersetuju untuk membantu mereka membuat video tersebut, dan sudah tahu akan diberi nasi dan tulang ayam semata-mata untuk video itu.

Dalam satu video, pengguna Instagram @aluk_77 menegaskan mereka sebenarnya tidak memberi lelaki itu hanya tulang ayam, dan telah memberikannya makanan dengan dua ketul ayam goreng.

SKMM menegaskan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), jika disabit kesalahan denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut, pihaknya mahu memastikan ruang siber tidak disalah guna dan kekal sebagai medium menghormati undang-undang serta keharmonian masyarakat.

“Orang ramai diingatkan tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.