Rundingan konflik Thailand-Kemboja dijangka muktamad Khamis ini, kata Anwar

Rundingan konflik Thailand-Kemboja dijangka muktamad Khamis ini, kata Anwar

Perdana Menteri berkata jeneral terlibat di sempadan kedua negara akan berada di Kuala Lumpur untuk mengadakan pertemuan.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap akan ada penyelesaian muktamad antara Thailand-Kemboja sama ada menghentikan ketegangan atau teruskan gencatan senjata.
PETALING JAYA:
Rundingan konflik di sempadan Thailand-Kemboja dijangka akan dimuktamadkan Khamis ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau memaklumkan hari ini, ketua-ketua tentera khususnya jeneral yang terlibat di sempadan kedua negara akan berada di Kuala Lumpur untuk mengadakan pertemuan yang diselaraskan oleh panglima angkatan tentera Malaysia.

“Kita harapkan beberapa titik pertemuan diselaraskan Malaysia dapat dimeterai sebelum atau pada Khamis ini.

“(Ini) kerana pada 7 Ogos menteri pertahanan Kemboja dan Thailand akan bersama untuk mencapai kesepakatan. Mudahan ada penyelesaian muktamad dan tegas (sama ada) hentikan atau teruskan gencatan senjata,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta perdana menteri menyatakan penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam usaha menjayakan rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Konflik di sempadan Thailand-Kemboja bermula dengan pertempuran singkat pada 28 Mei dan memuncak menjadi pertempuran bersenjata pada 24 Julai.

Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas yang dianjurkan di Putrajaya oleh Anwar, selaku pengerusi Asean tahun ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata dalam pertemuan antara menteri pertahanan Kemboja dan Thailand itu juga adalah bagi menjamin tidak ada lagi pelanggaran atau peraturan di kawasan sempadan yang dipertikai.

Beliau berkata kejayaan ini juga adalah hasil usaha Kementerian kementerian luar dan Kementerian Pertahanan negara yang membantu dalam menyelesaikan rundingan antara kedua-dua negara itu.

“Saya ucapkan tahniah. Kejayaan ini adalah kerana kejayaan kementerian-kementerian, pasukan tentera Malaysia dan kerjasama negara-negara Asean.

“Mudahan ada pencapaian kesepakatan dan penyelesaian muktamad kerana (konflik sempadan itu) bukan hanya jejas kedua negara tetapi jejaskan nama baik Asean.

“Jadi segala masalah ini harus cuba diselesaikan secara muafakat dan setakat kerajaan Thailand dan Kemboja sangat positif (untuk) capai penyelesaian muktamad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.