PAS terbuka kerjasama MIC, MCA bawah PN

PAS terbuka kerjasama MIC, MCA bawah PN

Mursyidul Amnya Hashim Jasin berkata parti tidak ada mempunyai masalah menjalin kerjasama itu dengan pelbagai parti kecuali DAP.

Hashim Jasin
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata Perikatan Nasional terbuka menerima parti-parti lain bagi mengukuhkan lagi kerjasama untuk menghadapi PRU16 akan datang.
PETALING JAYA:
PAS terbuka untuk bekerjasama dengan MIC dan MCA dalam Perikatan Nasional (PN) namun ia perlu dibincang lebih lanjut oleh kepimpinan tertinggi gabungan.

Mursyidul Amnya, Hashim Jasin, berkata parti itu secara dasarnya tidak mempunyai masalah menjalin kerjasama itu dengan pelbagai parti kecuali DAP.

“Ke arah kerjasama tersebut menjadi kenyataan bagaimana memerlukan perbincangan lebih lanjut di peringkat tertinggi kepemimpinan,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Tambahnya lagi, gabungan itu terbuka menerima parti-parti lain bagi mengukuhkan lagi kerjasama untuk menghadapi PRU16 akan datang.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan dilaporkan berkata parti itu berasa tidak dihargai kerana tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun mempunyai pemimpin kanan.

Beliau berkata MIC akan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.

Semalam, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Balachandran Gopal Krishnan mengingatkan bahawa MIC pernah bersama mereka semasa pentadbiran lepas, lalu menyatakan kesediaan untuk menjalin semula kerjasama itu.

Menurutnya, MIC dan partinya pernah menubuhkan kerajaan di bawah dua perdana menteri iaitu Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Hashim berkata, PAS menolak untuk bersama kerajaan perpaduan biarpun ditawar jawatan timbalan perdana menteri.

“Kita tidak akan masuk (kerajaan Perpaduan) selagi DAP ada. Kita sudah banyak pengalaman bersama DAP sebelum ini.

“Bagaimanapun, kerjasama dengan Umno masih terbuka dan kita tidak pernah menutup pintu rundingan ke arah perpaduan ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Maszlee Malik sebelum ini bahawa peluang wakil PAS menjadi timbalan perdana menteri lebih cerah jika bersama kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.