Malaysia rujuk Blok ND6, ND7 sebagai Laut Sulawesi, bukan Ambalat

Malaysia rujuk Blok ND6, ND7 sebagai Laut Sulawesi, bukan Ambalat

Penggunaan istilah mestilah tepat dan cermin kedaulatan, hak perundangan Malaysia, kata Wisma Putra.

Malaysia kekal komited lindung hak kedaulatan dan kepentingannya selaras dengan Unclos 1982, menurut Wisma Putra.
PUTRAJAYA:
Malaysia merujuk kawasan maritim merangkumi Blok ND6 dan ND7 yang terletak dalam Peta Baharu Malaysia 1979 sebagai Laut Sulawesi dan bukan ‘Ambalat’ seperti yang digunakan oleh Indonesia, menurut Kementerian Luar.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan turut mengukuhkan lagi pendirian Malaysia ke atas kawasan maritim negara di Laut Sulawesi.

“Menteri luar menegaskan bahawa penggunaan sebarang istilah mestilah tepat dan mencerminkan kedaulatan serta hak perundangan Malaysia ke atas kawasan berkenaan,” menurut Wisma Putra, sambil menambah Menteri Luar Mohamad Hasan turut menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai kemungkinan pembangunan bersama antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi, Kementerian Luar berkata, perkara itu masih pada peringkat perbincangan awal.

“Setakat ini, tiada sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Malaysia kekal komited untuk melindungi kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingannya selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) 1982.

“Sebarang perbincangan berhubung perkara ini dilaksanakan melalui mekanisme diplomatik, berasaskan perundangan dan teknikal yang ditetapkan di bawah rangka kerja dua hala sedia ada,” menurut kementerian itu.

Kementerian Luar berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan Sabah bagi memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara dan dilindungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.