Konsulat cadang hospital Malaysia ambil jururawat Indonesia

Konsulat cadang hospital Malaysia ambil jururawat Indonesia

Selain permudah komunikasi dan hubungan budaya, jururawat negara itu juga berkhidmat di Singapura, Arab Saudi, UAE, Jepun, dan Jerman.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S Widiyanto, berkata Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang kesihatan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mencadangkan kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari republik itu berkhidmat di negara ini, sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja sektor perubatan.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S Widiyanto, berkata langkah itu merupakan situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70% pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.

Beliau optimis langkah ini akan memberi manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat, manakala Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.

“Mungkin di Johor, Melaka, kemudian di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, hampir semuanya mencatatkan purata 70% pesakit adalah rakyat Indonesia. Beberapa hospital di Sabah juga, saya dimaklumkan perkara sama.

“Oleh itu, sudah tentu ia akan menjadi situasi menang-menang sekiranya lebih ramai jururawat kami dapat bekerja di sini. Dari segi komunikasi, tiada masalah kerana saling memahami. Dari segi peluang, begitu juga dari segi budaya,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, berkata hospital utama di Johor Bahru kini sedang berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dan kritikal, menyaksikan seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

Sigit berkata, pihaknya ketika ini telah memulakan kerjasama peringkat negeri dengan sebuah hospital di Johor, termasuk melaksanakan proses pengambilan calon sebelum mengemukakannya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur untuk kelulusan.

“Ini memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Jururawat Malaysia, dan pihak berkepentingan lain. Namun, kami mencuba kerana selama ini belum pernah dilakukan,” katanya.

Jururawat Indonesia diiktiraf

Beliau berkata, jururawat dari Indonesia kini sudah diiktiraf di banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Australia, dan Jerman, membuktikan mereka berkemampuan berkhidmat di Malaysia.

“Kalau jururawat Indonesia boleh bekerja di negara tersebut tentu mereka juga boleh bekerja di Malaysia. Secara Asean, negara anggota juga telah bersetuju bahawa jururawat adalah antara profesion terbuka yang boleh berpindah negara. Tentu perlu ada penyesuaian kemahiran dan lain-lain mengikut peraturan sedia ada, namun itu bukan masalah besar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang memfokuskan pengambilan jururawat dari Kepulauan Riau dan Riau sebagai usaha permulaan menempatkan tenaga kerja bidang kesihatan itu di hospital Malaysia.

Langkah itu diambil kerana faktor kedekatan geografi dan persamaan budaya, selain ramai pesakit dari kawasan berkenaan mendapatkan rawatan di Johor dan Melaka.

“Kita tak perlu jauh-jauh, kita penuhi keperluan kita sendiri. Kalau nanti secara nasional boleh dilaksanakan tentu lebih bagus tapi untuk sekarang kita fokus Kepulauan Riau dahulu,” katanya.

Beliau berkata di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau, terdapat institusi pengajian kesihatan iaitu Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan dan Politeknik Kesehatan milik Kementerian Kesihatan Indonesia, yang boleh menjadi antara sumber utama calon jururawat.

“Kami sudah berbincang dengan sekolah kesihatan di sini untuk mewujudkan program ‘sandwic’, iaitu kurikulum akan digabungkan bagi membolehkan lulusan di Indonesia menyambung pengajian enam bulan di Malaysia sebelum berkhidmat di sini,” katanya.

KJRI Johor Bahru merekodkan kira-kira 130,210 warganegara Indonesia menetap di wilayah kerjanya yang meliputi Johor, Melaka, Negeri Sembilan, dan Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.