
Menteri Fadhlina Sidek, berkata guru terbabit telah menerima Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) pada kadar tersebut dalam kategori Pedalaman 3, manakala masing-masing RM1,000 dan RM500 bagi Pedalaman 2 dan 1.
“Buat masa ini kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan kenaikan gaji (penjawat awam) dan langkah-langkah lain yang dapat meningkatkan profesionalisme serta kesejahteraan pada pendidik secara menyeluruh,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim sama ada kementerian bercadang mengkaji semula elaun pengetua, guru besar, guru pentadbir serta guru yang bertugas di sekolah pedalaman bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas dengan peningkatan kos sara hidup.
Fadhlina berkata, langkah proaktif menerusi pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam sejak 1 Dis tahun lalu menjadi sebahagian usaha kerajaan menambah baik kebajikan golongan pendidik sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam sistem pendidikan negara.
“Namun, Kementerian Pendidikan akan terus menilai dari semasa ke semasa keperluan untuk sebarang penambahbaikan berdasarkan keadaan ekonomi dan kewangan negara serta keutamaan dalam sektor pendidikan.
“KPM terbuka dengan cadangan insentif yang berbentuk bukan kewangan yang tidak melibatkan implikasi kewangan bagi membantu pemimpin sekolah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.