Jadi ‘keldai akaun’ sindiket pinjaman wang, 2 didenda RM20,000

Jadi ‘keldai akaun’ sindiket pinjaman wang, 2 didenda RM20,000

Mereka didapati menyerahkan akaun kepada individu tidak dikenali untuk mendapatkan pinjaman perniagaan dan bayaran sewaan RM1,000 sebulan.

gavel
Tertuduh, Norima Ibrahim, 50, dan Lee Jia Yia, 35, masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat selepas mengaku bersalah menjual akaun kepada sindiket pinjaman wang tidak wujud. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Ibu lapan anak dan seorang lelaki masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah menjual
akaun kepada sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Keputusan dibuat Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh terhadap Norima Ibrahim, 50, dan Lee Jia Yia, 35, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta rayuan dikemukakan tertuduh, menurut Berita Harian.

Mahkamah turut mengarahkan mereka dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua tertuduh membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, Norima yang juga pekerja pembersihan didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM19,500 manakala Jia Yia, RM1,000 ke dalam akaun atas nama mereka berdua.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Pura Kencana Sri Gading antara 5 hingga 22 April lalu. Jia Yia pula didakwa melakukan kesalahan di sebuah bank Jalan Rahmat, 6.43 petang, 19 Januari lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga 10 tahun denda maksimum RM150,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mereka didapati menyerahkan akaun kepada individu tidak dikenali untuk mendapatkan pinjaman perniagaan dan juga bayar sewaan sebanyak RM1,000 sebulan.

Akaun terbabit digunakan individu tidak dikenali untuk menipu mangsa dengan menawarkan pinjaman sedangkan ia tidak wujud.

Perbuatan itu terbongkar apabila dua mangsa, masing-masing wanita dan lelaki membuat laporan polis mendakwa ditipu sindiket terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala kedua-dua tertuduh itu tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.