Hutang untuk pembangunan, bukan belanja mengurus, kata Anwar

Hutang untuk pembangunan, bukan belanja mengurus, kata Anwar

Perdana menteri berkata pinjaman kerajaan disalurkan kepada projek yang telah lama tertangguh, seperti sekolah, hospital, dan naik taraf infrastruktur.

kl skyline
Pembangunan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kerajaan, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan strategi pengurusan hutang Putrajaya, menegaskan bahawa pinjaman kerajaan disalurkan ke arah keperluan pembangunan yang sudah lama tertangguh dan bukan untuk perbelanjaan mengurus.

“Kita tidak meminjam untuk belanja mengurus. Kita meminjam, dan pada jumlah yang dikurangkan, untuk perbelanjaan pembangunan.

“Kenapa? Kerana keadaan sekolah kita, hospital kita, kawasan luar bandar, dan zon terdedag banjir,” katanya di Dewan Rakyat ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid sama ada kerajaan menguruskan hutang negara secara bertanggungjawab, memandangkan ia telah meningkat daripada RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 bilion menjelang akhir 2024 – hampir 65% daripada KDNK negara.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim.

Anwar berkata keutamaan pembangunan telah pun disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di mana beliau menggesa semua Ahli Parlimen membacanya sebelum membuat kritikan.

“Semua ini telah pun digariskan dalam RMK13 dan mesti dibaca.”

Beliau juga menolak dakwaan bahawa kerajaan perpaduan lebih mengutamakan komuniti tertentu berbanding yang lain dalam peruntukannya.

“Kalau kata kita peruntukan untuk perkampungan baharu Cina, tetapi bukan untuk Bumiputera, maknanya mereka belum baca,” katanya.

“Sebab jika anda membaca rancangan itu, peruntukan Bumiputera adalah antara yang tertinggi – termasuk untuk rizab Melayu di kawasan bandar. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini sejak merdeka.”

Mengkritik pentadbiran terdahulu kerana membuat dakwaan besar tentang mempertahankan kepentingan Melayu tanpa mengambil sebarang tindakan sebenar, beliau menggesa Ahli Parlimen memahami sepenuhnya dasar kerajaan sebelum membahaskannya di Parlimen.

Anwar juga berkata bahawa mengurangkan defisit fiskal negara adalah penting, dan memberi amaran bahawa hutang berlebihan yang berterusan akan menjadi tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada generasi akan datang.

Beliau juga berkata dasar popular tanpa disiplin kewangan akan merosakkan kestabilan jangka panjang negara.

Beliau berkata pentadbirannya adalah yang pertama mengambil langkah konkrit ke arah pembaharuan fiskal, yang membawa kepada peningkatan keyakinan pelabur di peringkat domestik dan antarabangsa.

Anwar juga menyentuh rancangan berperingkat kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal, dengan berkata kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan hutang menjadi tidak terkawal dan keyakinan orang ramai terhadap dasar fiskal Putrajaya terhakis.

Beliau berkata kerajaan akan terus menyediakan subsidi bersasar seperti bekalan elektrik dan bahan api bagi mengelak membebankan rakyat.

Anwar juga mengkritik mereka yang mempertahankan subsidi menyeluruh yang menguntungkan warga asing, bertanya sama ada mereka benar-benar mewakili rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.