
Rafizi (PH-Pandan) memberi amaran Malaysia berisiko terperangkap dalam kitaran populisme jangka pendek dan ketidakstabilan politik dengan kekerapan pertukaran kerajaan sekiranya perubahan dasar ini tidak diperkenalkan.
Dalam perbahasan rancangan lima tahun itu di Dewan Rakyat hari ini, Rafizi berkata kerajaan perlu keluar daripada pendekatan tradisional yang melibatkan kelulusan projek infrastruktur bernilai tinggi tetapi pulangan ekonominya diragui.
“Saya sudah ulang perkara ini banyak kali. RMK13 tidak boleh lagi tentang meluluskan projek mega seperti sebelum ini. Ia mesti berasaskan kerangka dasar.
“Daripada kerangka ini, kita nilai sama ada peraturan atau sistem pendidikan kita benar-benar bersedia untuk masa depan. Setiap kelulusan projek mega mesti berasaskan kebolehlaksanaan dan daya maju perniagaan,” katanya.
Melihat melangkaui kitaran pembangunan semasa, Ahli Parlimen PKR itu memberi amaran Malaysia mungkin berdepan tekanan fiskal bersifat struktural pada tahun-tahun mendatang, khususnya berkaitan percukaian.
“Dalam lima, 10 atau 15 tahun akan datang, kerajaan akan berdepan dilema terpaksa menaikkan cukai. Setiap kali kerajaan menaikkan cukai, ia akan dihukum dan diganti (dalam pilihan raya umum),” katanya.
Beliau memberi amaran keadaan itu boleh memerangkap negara dalam kitaran populis, di mana pembaharuan struktural ditangguhkan demi melaksanakan dasar populis untuk kelangsungan politik jangka pendek.
“Ia sudah berlaku di banyak negara – di UK, di negara-negara Eropah – dan ia akan berlaku kepada Malaysia juga, lambat-laun,” katanya.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Bersatu Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan RMK13 tiada ‘faktor wow’ dan sekadar meneruskan dasar seperti biasa.
Beliau berkata terdapat inisiatif yang memberi tumpuan kepada kawasan majoriti Melayu termasuk di Kelantan, tetapi ia bukanlah sesuatu yang bersifat boleh mengubah landskap.