Polis rampas dadah RM18 juta dalam bungkusan teh Cina

Polis rampas dadah RM18 juta dalam bungkusan teh Cina

Rampasan di Taman Sri Hartamas pada 29 Julai lalu membabitkan dadah jenis methamphetamine dan ketamin seberat hampir 440kg.

Bukit Aman
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah selepas merampas hampir 440kg dadah dianggarkan bernilai RM17.78 juta, yang dipercayai sebagai rampasan terbesar dilakukan setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya merampas 225 bungkusan dadah jenis methamphetamine seberat 234kg dan 200 paket ketamin seberat 205.7kg dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Sri Hartamas di sini pada 29 Julai lalu.

“Anggaran nilai pasaran dadah itu adalah sekitar RM17.78 juta. Saya percaya ini adalah rampasan terbesar di negara ini setakat tahun ini,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Hussein berkata, dadah itu yang dipercayai diseludup melalui laluan darat dari negara jiran, disembunyikan dalam bungkusan menyerupai teh Cina.

Beliau berkata seorang lelaki yang ditahan dalam serbuan itu dipercayai berperanan sebagai transporter dan telah menggunakan rumah itu sebagai tempat penyimpanan dadah.

Polis turut merampas dua kereta, sebentuk cincin, seutas rantai tangan, tiga jam tangan dan telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM93,350.

Suspek direman selama enam hari bermula 30 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Hussein berkata polis merampas bunga ganja bernilai lebih RM1.48 juta berikutan penahanan empat suspek, termasuk tiga warga Vietnam, dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Usahawan Taman Kuchai pada 29 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.