Pengeluaran simpanan KWSP tak wajar bersifat mandatori, kata Ahli Parlimen

Pengeluaran simpanan KWSP tak wajar bersifat mandatori, kata Ahli Parlimen

Mohd Shahar Abdullah berkata jika cadangan anuiti bulanan mahu diperluas atau dijadikan laluan utama ia mesti dilindungi daripada susut nilai.

Mohd Shahar Abdullah berkata struktur bayaran pencen bulanan KWSP perlu disemak secara berkala dan ditingkatkan seiring kos sara hidup semasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengeluaran simpanan persaraan tidak wajar bersifat mandatori terutama apabila opsyen anuiti telah sedia wujud dalam kerangka Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ahli Parlimen kerajaan.

Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata, jika cadangan anuiti bulanan itu mahu diperluas atau dijadikan laluan utama, ia mesti dilindungi daripada susut nilai akibat inflasi.

“Ini bermakna struktur bayaran pencen bulanan tersebut perlu disemak secara berkala dan ditingkatkan seiring dengan kos sara hidup semasa,” katanya semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Menerusi RMK13, kerajaan merancang untuk meneroka satu mekanisme lebih baik bagi menjamin pendapatan berterusan selepas bersara, memandangkan simpanan persaraan yang mencukupi penting bagi menjamin kebajikan pekerja pada usia tua.

Mekanisme itu membolehkan pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.

Selain itu, kerajaan berkata, melalui usaha itu, golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian simpanan, selain menerima pencen bulanan pada usia persaraan.

Dalam pada itu, Shahar yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berharap pemerintah akan mengambil pendekatan berperingkat, fleksibel dan berteraskan pilihan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan sebarang skim baharu benar-benar memberi perlindungan jangka panjang yang berkesan buat rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.