Malaysia harus sedia industri semikonduktor kena tarif tambahan

Malaysia harus sedia industri semikonduktor kena tarif tambahan

Menteri Miti berkata, AS mungkin kenakan tarif tambahan ke atas produk semikonduktor atas alasan keselamatan negara.

Menurut Tengku Zafrul Abdul Aziz, produk semikonduktor sedang disiasat di bawah Akta Perluasan Perdagangan 1962 yang membenarkan AS kenakan tarif tambahan. (Gambar Pixabay)
KUALA LUMPUR:
Malaysia perlu terus bersiap siaga hadapi sebarang kemungkinan tarif tambahan dikenakan ke atas industri semikonduktor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Walaupun pada masa ini produk semikonduktor diberi pengecualian daripada pengenaan tarif timbal balas, ia sedang disiasat di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962 yang membenarkan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif tambahan atas alasan keselamatan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai rundingan perdagangan dengan AS.

Tengku Zafrul menjelaskan, antara perkara telah dimuktamadkan dengan AS termasuk persetujuan secara prinsip, iaitu komitmen dibuat sepanjang rundingan akan diterjemahkan secara terperinci dalam bentuk satu dokumen perjanjian, iaitu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang akan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak kelak.

Katanya, skop rundingan melibatkan enam seksyen utama, iaitu Seksyen 1 (Tarif dan Kuota); Seksyen 2 (Halangan Bukan Tarif dan Perkara-Perkara Berkaitan); Seksyen 3 (Perdagangan Digital dan Teknologi);Seksyen 4 (Peraturan Tempasal); Seksyen 5 (Keselamatan Ekonomi dan Negara), serta Seksyen 6 (Pertimbangan Komersial).

Sebagai rujukan, Peraturan Tempasal (tempat asal) digunakan untuk menentukan negara asal sesebuah barangan, konsep yang sangat penting dalam perdagangan antarabangsa.

Secara asasnya, peraturan ini menetapkan kriteria perlu dipenuhi oleh sesuatu produk untuk dianggap sebagai ‘berasal dari’ atau ‘dibuat di’ sebuah negara tertentu.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, bagi usaha mengurangkan jurang defisit dagangan dua hala, AS menggalakkan Malaysia membuat perolehan dan pelaburan dari AS di bawah Seksyen 6 (Pertimbangan Komersial).

Antara komitmen dibuat antara Malaysia dengan AS ialah perolehan barangan oleh syarikat-syarikat multinasional untuk sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data bernilai USD150 bilion bagi tempoh lima tahun.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan memantau pelaksanaan komitmen telah dipersetujui dan memastikannya dilaksanakan dengan baik serta dapat memberikan faedah kepada negara untuk jangka masa panjang.

“Untuk industri-industri tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan Madani akan terus membantu mereka dalam menghadapi cabaran geoekonomi ini, termasuk mengadaptasikan proses perniagaan dan eksport ke AS berikutan pelaksanaan tarif timbal balas tersebut.

“Miti dan agensi di bawahnya akan melaksanakan jerayawara untuk sektor-sektor berkenaan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga komited memastikan dengan termaktubnya perjanjian dengan AS, Malaysia dapat terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan negara itu, dan pada masa sama meneruskan kerjasama strategik dengan rakan-rakan dagang lain tanpa menggadai kedaulatan dan kestabilan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.