
Panel tiga hakim dipengerusikan Abdul Fareed Abdul Gafoor membuat keputusan itu selepas pengadu berjaya membuktikan kesnya bahawa responden melalui perbuatan dan ucapan berunsur seksual yang tidak diingini, serta menyebabkan kesan mendalam kepada emosi dan maruahnya.
Pengadu, seorang perempuan berusia 21 tahun, merupakan seorang pelajar kolej swasta di Nilai.
Menurut dokumen dilihat FMT, tribunal memerintah lelaki berusia 52 tahun terbabit membayar pampasan kepada pengadu sebagai ganti rugi atas kesan psikologi dan emosi akibat gangguan tersebut, dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.
Tuduhan terhadap lelaki terbabit dilaporkan FMT pada 30 Jun lalu.
Pensyarah berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 21 Mei lalu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas dakwaan mencabul kehormatan.
Pada 2022, FMT melaporkan UiTM menamatkan perkhidmatan pensyarah ini selepas berdepan tuduhan gangguan seksual apabila meminta pelajar wanita menjawab soalan kaji selidik ‘melampau’ menerusi panggilan telefon.
Dia kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Tangkak pada Mac 2024 dan perbicaraan kes tersebut masih berjalan.