
Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri juga akan meneliti kembali kemajuan kerja pembinaan semula dan baik pulih rumah mangsa supaya gerak kerja terus berjalan lancar.
“Sebagaimana saya maklumkan dalam sidang DUN Selangor baru-baru ini, proses itu akan siap Oktober. Memang ia akan ambil sedikit masa sebab bergantung kepada tahap kerosakan tapi kalau kerja (pembinaan) perlahan, kita semak balik.
“Dewan tempoh hari juga saya maklumkan kerja-kerja itu pada tahap 22 hingga 24 peratus berjalan, dijalankan Syarikat Perumahan Negera Berhad (SPNB), manakala di Kampung Kuala Sungai Baharu kerja pembinaan adalah lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri Selangor.
Dalam pada itu, Amirudin menafikan terdapat perbezaan bantuan diterima antara mangsa di Kampung Kuala Sungai Baharu dan Taman Putra Heights, sebaliknya memaklumkan ia berdasarkan kadar kerosakan mengikut siling yang ditetapkan.
“Rumah (mangsa) di Putra Heights ada rosak keseluruhan. Kita ada beberapa kategori, rumah yang ‘total lost’ hingga RM300,000, kerosakan kecil hingga RM60,000. Antara kedua-duanya itu pula ada proses-proses tertentu, tidak ada bezanya,” katanya.