Semenanjung, Sabah mungkin dilaksana projek nuklear, kata TPM

Semenanjung, Sabah mungkin dilaksana projek nuklear, kata TPM

Fadillah Yusof berkata dua wilayah itu perlu tenaga tetap tinggi dengan paling cepat kemungkinan projek itu dilaksanakan pada dekad mendatang.

Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata sumber tenaga Semenanjung dan Sabah masih bergantung sumber tidak bersih seperti gas dan diesel. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semenanjung dan Sabah sedang diteliti kemungkinan untuk melaksanakan projek tenaga nuklear berikutan keperluan tenaga tetap yang tinggi di dua wilayah itu, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata faktor kesesuaian lokasi berhampiran sumber air seperti sungai, laut atau tasik besar menjadi antara pertimbangan utama dalam kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan sistem penyejukan loji nuklear.

“Semenanjung dan Sabah yang sesuai (dibangunkan projek tenaga nuklear) kerana apa yang diperlukan sekarang ialah tenaga yang sumbernya tetap.

“Kalau di Sarawak, tidak ada masalah sebab hidro sudah menyumbang hampir 70%, manakala di Semenanjung dan Sabah, sumber hidro tidak begitu banyak kerana lebih kepada gas dan diesel…jadi ini semua masih berasaskan sumber yang tidak bersih,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Arena Pickleball MUSCS, di Kuching.

Beliau berkata, setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenai teknologi, lokasi mahupun kapasiti yang akan digunakan kerana kerajaan masih menjalankan kajian menyeluruh yang diselaras oleh MyPower Corporation selaku Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear Negara (NEPIO).

Fadillah berkata, selain keperluan teknikal, kajian berkenaan turut meneliti faktor teknologi paling sesuai, pembangunan kepakaran tempatan, aspek keselamatan, kesan alam sekitar, dan kemampuan membiayai keseluruhan pelaksanaan projek tenaga itu.

“Semua ini mesti diteliti terlebih dahulu…kalau kita sudah puas hati dan rakyat pun boleh terima, barulah kita boleh muktamadkan, jangkaan kita paling cepat kalau nak dilaksanakan ialah 10 tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga meneliti teknologi baharu seperti reaktor modular kecil (SMR) serta merancang beberapa lawatan kerja ke luar negara bagi mengenal pasti teknologi terbaik, selamat, dan keberkesanan kos di Malaysia.

“Sebab itu saya membuat lawatan kerja ke Rusia dan Perancis, insya-Allah, saya akan ke Korea Selatan, Jepun, China, dan akhirnya ke Amerika Syarikat,” katanya.

Semalam, kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan pelaksanaan tenaga nuklear sedang dikaji sebagai antara sumber tenaga bersih, stabil serta berdaya saing untuk masa depan negara dengan pendekatan bertahap berpandukan garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.