Proaktif jejak lonjakan harga, manipulasi, KPDN bangun sistem repositari

Proaktif jejak lonjakan harga, manipulasi, KPDN bangun sistem repositari

Sistem itu akan jejak pergerakan harga dan bekalan bermula pengeluar, pemborong, peruncit hingga pengguna akhir.

supermarket
Armizan Mohd Ali berkata, KPDN akan membentuk Jawatankuasa Kestabilan Harga secara berasingan bagi setiap negeri.
PETALING JAYA:
Sistem repositari harga dan bekalan akan dibangunkan kerajaan bagi mengesan lebih awal lonjakan harga atau manipulasi pihak tertentu, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Armizan Mohd Ali, berkata sistem itu akan membolehkan kerajaan menjejak pergerakan harga dan bekalan menyeluruh bermula pengeluar, pemborong, peruncit hingga pengguna akhir.

“Dengan adanya rantaian data harga dan bekalan ini, pemantauan dapat dilakukan dengan lebih berkesan selain mengesan sebarang manipulasi orang tengah yang menyebabkan kenaikan harga.

“KPDN akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam merealisasikan sistem ini,” katanya menurut Bernama di Penampang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kajian terhadap faktor perbezaan harga barangan di Sabah, Sarawak, dan Labuan telah dimulakan tahun ini, selain pembentukan Jawatankuasa Kestabilan Harga secara berasingan bagi setiap negeri.

Katanya, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, James Ratib, dengan tumpuan awal terhadap lima barangan utama termasuk ayam.

Beliau berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membentangkan laporan awal berkaitan perbezaan harga di Sabah dan Labuan, manakala Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pula bagi Sarawak.

“UMS turut mencadangkan lima jenis barangan yang boleh ditangani dalam tempoh singkat bagi mengurangkan jurang perbezaan harga. Kita akan teliti laporan awal itu bagi merangka tindakan seterusnya pada fasa kedua kajian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.