Politeknik fokus AI akan dibina di Lumut

Politeknik fokus AI akan dibina di Lumut

Pembinaan institusi itu akan bermula tahun depan.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Zahari Ismail, berkata politeknik seumpamanya bagi penuhi kebolehpasaran graduan ambil kira permintaan kepakaran AI semakin meningkat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah politeknik khusus dalam bidang kecerdasan buatan (AI) akan dibina di Lumut, Perak.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Zahari Ismail berkata penubuhan politeknik itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah mendapat kelulusan dan kerja pembinaannya akan dimulakan tahun depan.

“Sebaik sahaja politeknik dan program berkaitan diluluskan, pelan pembangunan, reka bentuk kurikulum serta pengambilan tenaga pengajar akan disusun segera, dan kita menjangkakan politeknik ini dapat mula beroperasi dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Penubuhan institusi ini turut menyokong kebolehpasaran graduan dalam bidang berasaskan teknologi, memandangkan permintaan terhadap kepakaran AI semakin meningkat,” katanya menurut Bernama di Melaka.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Zahari berkata, politeknik berkenaan akan menawarkan program pengajian peringkat sijil dan diploma dalam bidang AI secara khusus sebagai antara langkah strategik negara menangani keperluan tenaga mahir dalam sektor digital dan teknologi pintar.

Beliau berkata, pada masa ini, lebih 10 program berkaitan teknologi maklumat dan sains komputer di politeknik dan kolej komuniti seluruh negara telah diperkenalkan dengan elemen AI termasuk kursus pengenalan kepada AI, pembelajaran mesin, dan analisis data.

“Inisiatif ini katanya akan terus diperkasa sebagai kursus rentas bidang dan semua pelajar diwajibkan mengikuti program AI tanpa mengira bidang utama pengajian.

“Ini pentingnya integrasi AI dalam bidang seperti internet benda (IoT), automasi dan analisis data besar yang kini menjadi agenda utama negara dalam mengoptimumkan penggunaan data secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata, lebih 95% graduan TVET daripada institusi tersebut kini berjaya menyambung pengajian atau mendapat pekerjaan di pelbagai sektor industri dan agensi, menunjukkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan kemahiran.

Sebanyak 569 graduan kolej komuniti dari seluruh Melaka diraikan dalam majlis itu yang merupakan sebahagian daripada lebih 32,000 graduan sistem politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.