
Katanya, Malaysia menyenaraikan rancangan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai antara pembelian besar itu.
Dengan pendekatan sedemikian, Malaysia membuktikan kepada AS bahawa “kita juga pembeli besar produk mereka, dan akhirnya meyakinkan mereka untuk menurunkan tarif eksport kita dari 25% kepada 19%,” katanya di platform X.
Tengku Zafrul bagaimanapun mengingatkan rancangan pembelian itu diumumkan seawal Mac, semasa Presiden AS, Donald Trump, belum umumkan tarif.
Beliau juga menerangkan pembelian pesawat itu adalah keputusan perniagaan oleh MAG, dan dibiayai menggunakan dana syarikat.
“Bukan duit cukai rakyat!” katanya.
AS sebelum ini mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, namun kadar itu dikurangkan kepada 19% selepas beberapa pusingan rundingan.
Pada Mac, MAG berkata ia telah memesan 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10, yang akan dihantar menjelang 2030, dan pilihan untuk membeli 30 lagi pesawat 737.