
Menurut peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, laporan dibuat Noraidah Lamat, 45, di Balai Polis Sipitang, hari ini.
Katanya, anak guam mereka melihat sendiri kesan tersebut kerana dia memandikan jenazah Zara bersama beberapa wanita lain.
“Anak guam kami tidak memasukkan fakta penting ini dalam laporan polis sebelum ini kerana beliau terlupa sepenuhnya mengenainya kerana terlalu sedih dengan kejadian.
“Beliau hanya teringat semula berkenaan fakta ini apabila kami menyoal beliau kelmarin berkenaan keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Noraidah percaya lebam dilihatnya adalah kesan kecederaan akibat pukulan menggunakan objek tumpul di bahagian belakang Zara sebelum remaja itu ditemui bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Peguam berkata, pihaknya ambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail polis telah selesaikan siasatan dan kertas siasatan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara minggu depan untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, perkembangan terbaru ini menjustifikasikan pembukaan semula siasatan kes dan kubur Zara perlu digali semula dengan segera.
“Satu bedah siasat perlu dibuat untuk menentukan punca sebenar kejadian dan sama ada wujud elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu,” katanya.
Bernama melaporkan Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang asrama sekolahnya di Papar, Sabah, 16 Julai lalu.
Pelajar itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokannya.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun dilaporkan berkata, siasatan menjurus kepada dua elemen utama iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran mangsa.