
Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau, berkata industri telur atau daging ayam sebelum ini ditentukan oleh pasaran menyebabkan harga bahan makanan itu turun naik mengikut pelbagai faktor.
Katanya, apabila kerajaan memperkenalkan subsidi untuk telur ayam kira-kira tiga tahun harga telur kekal tidak berubah agak lama.
“Kalau jumlah telur di pasaran kurang (selepas subsidi tamat), pembekal hanya ada peluang naikkan harga 2, 3 atau 4 sen sebiji; paling tinggi pun 30 sen hingga 40 sen sebiji. Tetapi lepas beberapa bulan, ia akan turun semula bukan tak turun-turun.
“Bila harga telur naik, ladang akan tambah ternakan. Bila tambah ternakan, hasil telur juga akan bertambah. Bila telur bertambah, harga akan turun,” katanya kepada FMT.
Katanya, situasi ini juga sama seperti kelapa sawit atau durian Musang King. Dahulu harganya (musang king) mencecah RM70 hingga RM80 sekilogram, kini boleh didapati pada harga sekitar RM30 sekilogram kerana lambakan di pasaran.
“Begitu juga dengan telur, sebab kita merupakan pengeluar produk komoditi,” katanya sambil memaklumkan bahawa sekali pun harga telur di pasaran naik, ia masih yang paling murah antara negara Asia Tenggara.
Dalam perkembangan sama, Yoon Yeau berkata golongan penternak juga sudah bersedia dengan penamatan subsidi dan mempunyai pendekatan tersendiri bagi mengimbangi permintaan pasaran serta kenaikan kos operasi.
Katanya, perkara itu tidak akan menjejaskan operasi pengeluaran telur di pasaran dan masih mampu mengekalkan pengeluaran sebanyak 30 juta hingga 32 juta biji telur ayam setiap hari.
“Setiap ladang ada cara tersendiri untuk mengatasi permintaan pasaran termasuk kenaikan kos operasi. Bila kos operasi naik dan permintaan kurang, ladang akan kurangkan jumlah anak ayam atau jual ayam lebih awal untuk kurangkan kerugian.
“Pengeluaran telur juga bergantung kepada banyak faktor seperti cuaca, wabak, manakala kos operasi pula banyak bergantung pada bahan makanan terutama dedak yang kita import dari luar negara,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa subsidi telur dihentikan sepenuhnya bermula 1 Ogos, selepas pengurangan kadar subsidi daripada 10 sen kepada lima sen sebiji yang bermula pada 1 Mei lepas.
Penstrukturan semula itu bertujuan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.