Tarif 19% AS tak jejas daya saing komoditi negara, kata Johari

Tarif 19% AS tak jejas daya saing komoditi negara, kata Johari

Menteri perladangan dan komoditi berkata kadar itu juga masih kompetitif berbanding negara Asean.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani sifatkan kadar tarif dikenakan ke atas produk negara boleh dianggap adil. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kadar tarif 19% dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia tidak akan menjejaskan daya saing komoditi negara di pasaran antarabangsa, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Beliau berkata, kadar itu juga masih kompetitif berbanding negara Asean, termasuk Indonesia yang dikenakan tarif sama walaupun merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

“Kalau tengok kelapa sawit, Indonesia (pengeluar) nombor satu dunia dan kita nombor dua. Indonesia pun kena tarif 19%, sama seperti kita, kira ‘okey’ dan ini maknanya adil,” katanya ketika diminta mengulas sama ada tarif dikenakan AS boleh menjejaskan pasaran komoditi negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang.

AS telah mengenakan kadar tarif pada kadar dikurangkan kepada 19% ke atas import dari Malaysia.

Kadar tarif balas yang disemak semula itu adalah lebih rendah daripada kadar awal 25%.

Tarif yang berkuat kuasa selepas 12:01 pagi pada 1 Ogos, menyaksikan barangan sedang dalam transit diberikan tempoh penangguhan selama tujuh hari untuk mengurangkan kesan serta-merta terhadap rantaian bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.