Kes Zara Qairina: 3 pelajar diambil keterangan masih di sekolah sama

Kes Zara Qairina: 3 pelajar diambil keterangan masih di sekolah sama

Pengarah Pendidikan Sabah Raisin Saidin berkata JPN memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

raisin saidin
Pengarah Pendidikan Sabah Raisin Saidin berkata ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ yang didedahkan di media sosial masih bersekolah di sekolah sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga pelajar antara 60 individu diambil keterangan berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir, masih bersekolah di sekolah sama.

Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin, berkata tiada seorang pun daripada tiga pelajar itu diberhentikan daripada sekolah.

“Juga (mereka) tiada kaitan dengan orang kenamaan (VIP) dan pihak polis,” katanya menurut Sinar Harian.

Tegasnya, Jabatan Pendidikan Sabah memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 yang ditemui kira-kira 3 pagi 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun dilaporkan berkata, tiga nama didedahkan di media sosial yang dikaitkan dengan kematian Zara Qairina – ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ antara 60 individu memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata, siasatan kini di fasa akhir dan pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk unsur buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.