
Hamid Ismail dan Shahlan Jufri kata sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam mereka, Noraidah Lamat, 45.
“Anak guam kami juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan ‘kau pembunuh’ oleh para pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.
“Perkara ini hanyalah diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial,” kata mereka, dalam kenyataan.
Selain itu, peguam berkata Noraidah tidak ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah dipindahkan daripada sebuah sekolah pada hari kematian Zara.
“Maklumat tersebut hanya diketahui oleh anak guam kami selepas ianya tular di media sosial,” kata mereka.
Sementara itu, peguam menyeru orang ramai menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat belum disahkan, sama ada terhadap Zara, Noraidah mahupun individu lain.
“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak,” katanya.
Bernama melaporkan Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Pelajar itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokannya.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun dilaporkan berkata, siasatan menjurus kepada dua elemen utama iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran mangsa.
Hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata kira-kira 60 saksi dipanggil bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan telah siap dan paling lewat minggu depan pihak polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.