
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu akan membolehkan Felda bersama-sama koperasi dan peneroka beri tumpuan sepenuhnya pada matlamat asal penubuhan agensi itu, iaitu menjamin hak, hasil dan kepentingan peneroka.
“Kita boleh proses nyahsenarai mulai 28 Ogos ini. Maknanya sekarang Felda tidak terikat, Felda satu kekuatan, FGV boleh tentukan arah tuju mereka dan boleh beri jaminan dengan (Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd atau KPF) supaya faedah dan kepentingan peneroka itu menjadi keutamaan.
“Sebaik saja hal ini diuruskan, saya bersama dengan Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek dan rakan-rakan akan memastikan pengarahan yang jelas daripada kerajaan — iaitu memastikan FGV kembali kepada matlamat asal Felda,” kata beliau ketika merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025.
Beliau berkata penyahsenaraian FGV adalah hasil pengurusan Felda yang cekap, dan kini tumpuan perlu diberi untuk memastikan pelaksanaan projek-projek Felda berjalan lancar mengikut keperluan peneroka.
FGV sebelum ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Felda menerima semua penerimaan sah bagi baki saham biasa syarikat itu yang menjadikan pegangan Felda mencecah 91.73%.