
Saintis politik Wong Chin Huat dari Universiti Sunway dan Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Asia Tenggara berkata, sebarang cubaan menarik sokongan bukan Melayu mungkin gagal selagi PN mengekalkan penguasaan Melayu-Islamnya.
“Tiada blok bukan Melayu boleh dipercayai yang boleh menjadi rakan kongsi dihormati PN.
“Selagi PN berkeras menguasai Melayu-Islam, rakan bukan Melayu akan dilihat sebagai boneka, sama seperti Gerakan,” kata Wong kepada FMT.

Wong berkata, ‘parti satelit’ ini tidak mungkin dapat meraih sokongan pengundi bukan Melayu, jadi tiada alasan untuk PN melayan mereka dengan serius dan menyebabkan mereka terperangkap dalam ‘kitaran ganas tidak relevan’.
Asrul berkata, ketidakupayaan PN menarik pengundi bukan Melayu mungkin menjejaskan PRU akan datang, walaupun Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berada dalam barisannya.
Katanya, PAS perlu melembutkan imejnya, mengamalkan agenda lebih inklusif dan berfokuskan dasar – seperti dilakukannya bawah era Nik Aziz Nik Mat dalam Pakatan Rakyat – sebarang jangkauan berbilang kaum tidak akan bertahan lama.
“PAS perlu merangka agenda Islamnya mengenai keadilan dan kesaksamaan ekonomi untuk menarik semua rakyat Malaysia. Jika tidak, perkongsian dengan parti bukan Melayu akan hilang kredibiliti.

“Gerakan sepatutnya menjadi jambatan gabungan itu kepada pengundi Cina, tetapi ia bergelut bukan saja kerana akar umbi yang lemah, tetapi juga disebabkan mesej PAS.”
Idea membentuk gabungan serampang dua mata pertama kali dicetuskan Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir.
Beliau menggesa penubuhan satu blok parti yang mampu meraih sokongan di kawasan bukan Melayu bagi melengkapkan usaha PN mengukuhkan pangkalannya di kawasan majoriti Melayu.
Cadangan itu bagi menangkis sebarang stigma menyelubungi PAS dalam kalangan bukan Melayu dan mengakui daya tarikan gabungan itu terhad dalam komuniti itu.
Pengerusi Urimai, P Ramasamy, dilaporkan berkata komponen bukan Melayu PN ‘terlalu lembut dan konservatif’ untuk menyuarakan kebimbangan lebih meluas kaum Cina serta India, manakala gabungan itu terus bergelut di negeri pantai barat dan selatan yang mempunyai majoriti bukan Melayu.
Asrul berkata, strategi serampang dua mata ini mungkin berkesan, tetapi hanya jika pemimpin bukan Melayu dalam PN diberi peluang bermakna, bukannya peranan simbolik semata-mata.
Wong berpendapat, walaupun sesetengah pengundi India mungkin hilang kepercayaan kepada kerajaan, jumlah mereka tidak cukup besar untuk memberi kesan ketara kepada keputusan pilihan raya.
“Pengundi India membentuk 20% atau lebih dalam hanya beberapa kerusi,” katanya.

Penganalisis politik bebas, Adib Zalkapli, menyokong cadangan itu dengan berkata PN tidak patut berputus asa dalam usahanya mendekati pengundi bukan Melayu, yang tetap setia kepada Pakatan Harapan.
“Mereka perlu meneroka setiap pendekatan yang mungkin untuk memenangi sokongan pengundi bukan Melayu.”