Tiada kompromi isu halal dengan AS, tegas Tengku Zafrul

Tiada kompromi isu halal dengan AS, tegas Tengku Zafrul

Menteri pelaburan, perdagangan, dan industri berkata semua produk AS yang ingin masuk pasaran negara masih perlu patuh piawaian halal Jakim.

halal
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata semua produk diimport masih perlu mematuhi piawaian halal Malaysia yang ditetapkan Jakim. (Gambar SHPM)
PETALING JAYA:
Tiada kompromi terhadap produk Amerika Syarikat untuk dibenarkan masuk tanpa perlu pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam rundingan tarif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata semua produk AS yang ingin masuk pasaran negara masih perlu patuh piawaian halal ditetapkan agensi itu.

“Saya ingin menjelaskan dakwaan kononnya kerajaan mengkompromi piawaian halal untuk memenuhi permintaan AS adalah tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media.

Katanya, apa dipersetujui dengan AS bertujuan memudahkan proses pengimportan daging halal ke Malaysia dengan proses berkenaan akan dikendalikan Agensi Peraturan Halal AS.

“Namun, semua produk diimport masih perlu mematuhi piawaian halal Malaysia ditetapkan Jakim. Sekiranya tidak memenuhi piawaian Jakim, produk berkenaan tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia,” tegasnya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menafikan wujud perjanjian pembekalan eksklusif unsur nadir bumi kepada AS mahupun negara lain.

“Malah, tiada permintaan pun daripada pihak AS mengenai perkara itu,” katanya.

Semalam, The Straits Times melaporkan Malaysia mungkin mengiktiraf pensijilan halal AS dan membekalkan unsur nadir bumi kepada negara itu, sebagai usaha mengurangkan tarif eksport Malaysia.

Malaysia mempunyai lebih daripada 16 juta tan simpanan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dengan nilai komersial hampir RM1 trilion.

Eksport Malaysia ke AS mencapai paras tertinggi pada 2024, hampir RM200 bilion, menurut data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.