
Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman berkata penemuan awal itu adalah hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
“Bagaimanapun, punca kematian masih menunggu keputusan makmal dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut”, katanya dalam satu kenyataan.
Yusof berkata pelajar tersebut, Haris Samsudin, 22, rebah ketika sesi latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor kira-kira 2.30 petang pada 28 Julai lalu.
Katanya, Haris tiba-tiba meracau dan hilang kawalan.
Beliau kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi namun disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan.
Katanya, polis menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh termasuk mengambil keterangan daripada saksi serta pegawai perubatan terlibat.
Pada satu sidang media di Ipoh pagi tadi, ibu Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, mendakwa terdapat kemungkinan unsur jenayah selepas melihat keadaan mayat anaknya.
Menurut Malaysiakini, Ummu mendakwa Haris mengalami lebam, pendarahan dari hidung dan mata.
Beliau berkata kecederaan tersebut tidak selari dengan penjelasan yang diberikan kepadanya.