Peralihan ke segmen premium bantu lonjak Malaysia Airlines

Peralihan ke segmen premium bantu lonjak Malaysia Airlines

Inisiatif itu selain pemodenan pesawat dan jalinan kerjasama dengan penerbangan lain bantu pulih kedudukan kewangan syarikat.

malaysia airlines
MAG merekodkan keuntungan sebanyak RM766 juta pada 2023 selepas bertahun-tahun kerugian, dengan keuntungan operasi mula diperoleh seawal 2022 susulan proses penstrukturan semula pasca pandemik.
PETALING JAYA:
Beralih ke pasaran premium, memodenkan serta membesarkan pesawat-pesawat dan menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan lain, antara langkah penting membantu Malaysia Airlines kembali menguasai industri penerbangan.

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG) yang juga syarikat induk Malaysia Airlines, Izham Ismail berkata detik perubahan bermula pada 2019 apabila syarikat menyedari mereka menumpukan segmen pasaran yang salah.

Izham Ismail
Izham Ismail.

“Kita bersaing dengan syarikat penerbangan tambang murah dan terperangkap dalam perang harga yang tidak berkesudahan, sedangkan kos asas kita jauh lebih tinggi,” katanya dalam temu bual bersama FMT baru-baru ini.

Susulan itu, Malaysia Airlines mengambil keputusan keluar daripada segmen tambang murah dan mula memposisikan diri sebagai syarikat penerbangan premium.

Syarikat penerbangan itu telah mengubah model perniagaannya. Daripada menawarkan penerbangan terus antara bandar (point-to-point) seperti syarikat bajet, ia kini menggunakan KLIA sebagai hab utama. Penumpang boleh terbang ke KLIA dari satu rantau (seperti Eropah) dan sambung ke destinasi lain (seperti Australia). Ini menjadikan KLIA pusat sambungan antara benua.
Model ini lebih baik kerana ia menawarkan lebih banyak sambungan destinasi, menjimatkan kos operasi, dan menarik lebih ramai penumpang antarabangsa.

“Menjelang Oktober dan November 2019, kami sudah mula nampak peningkatan keuntungan,” katanya.

MAG merekodkan keuntungan RM766 juta pada 2023 selepas bertahun-tahun kerugian, dengan keuntungan operasi mula diperoleh seawal 2022 susulan proses penstrukturan semula pasca pandemik.

Pemodenan pesawat usang

Antara strategi pemulihan yang dijalankan, MAG telah melancarkan program pembaharuan pesawat-pesawatnya.

Salah satu cabaran utama syarikat ialah pesawatnya yang sudah berusia. Purata usia pesawat ialah 14 tahun berbanding piawaian global 11 tahun.

Akibatnya, syarikat terpaksa menggantung operasi beberapa pesawat. Menjelang akhir 2024, kapasiti telah dikurangkan sebanyak 18%, menyebabkan 6,300 penerbangan dibatalkan dan menjejaskan hampir sejuta penumpang.

Bagi mengatasi masalah ini, MAG mula membuat pelaburan lebih besar untuk pesawat generasi baharu. Penghantaran Airbus A330neo dan Boeing 737-8 sudah bermula, dengan lebih banyak pesawat termasuk Boeing 737-10 akan diterima secara berperingkat hingga 2028 dan seterusnya.

Setakat ini, empat daripada 20 Airbus A330neo telah diterima manakala 12 daripada 25 Boeing 737-8 telah dihantar. Sebanyak 30 lagi pesawat dijangka diterima mulai 2029 dalam fasa kedua.

Kerjasama strategik dan kuasa lembut

Sebagai syarikat penerbangan bersaiz sederhana, Malaysia Airlines sedar bahawa kerjasama dengan syarikat lain adalah kunci untuk meluaskan capaian destinasi. Sehingga kini, ia telah menjalin perjanjian kerjasama kod dengan lebih 20 syarikat penerbangan, meningkatkan destinasi kepada hampir 900 lokasi di seluruh dunia.

“Apakah pilihan terbaik syarikat penerbangan sederhana yang mempunyai bilangan pesawat yang terhad? Jawapannya ialah kerjasama,” kata Izham.

Di darat, MAG turut memanfaatkan pelbagai daya tarikan Malaysia seperti menawarkan khidmat layanan terbaik, mutu makanan dan keunikan budaya bagi membezakan syarikat itu daripada perusahaan penerbangan premium lain.

Izham berkata salah satu contoh tarikan adalah program ‘Bonus Side Trip’ (BST), yang membolehkan pelancong antarabangsa yang transit di KLIA meneroka satu lagi bandar di Malaysia tanpa sebarang kos tambahan.

“BST mencerminkan komitmen kami untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan utama di Asia,” katanya.

“Apabila pelancong antarabangsa mudah akses ke destinasi tempatan, perniagaan dan komuniti setempat mendapat manfaat. Program ini memastikan pertumbuhan ekonomi dikongsi secara menyeluruh, bukan tertumpu di bandar sahaja.”

Pengiktirafan dan pemulihan

Transformasi MAG turut mendapat perhatian. Brand Finance telah menamakan Malaysia Airlines sebagai jenama syarikat penerbangan yang paling pesat berkembang di dunia dalam laporan ‘Airlines 50 2025’, dengan lonjakan nilai jenama sebanyak 209% kepada USD607 juta.

Malaysia Airlines juga tersenarai dalam 10 syarikat penerbangan terbaik dalam beberapa kategori dalam Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2025, termasuk:

Tempat ke-6: Perkhidmatan Lapangan Terbang Terbaik Dunia
Tempat ke-8: Anak Kapal Kabin Terbaik Dunia
Tempat ke-7: Kakitangan Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia
Tempat ke-9: Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia
Tempat ke-10: Tempat Duduk Kelas Ekonomi Terbaik

“Perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi strategi yang sedang kita laksanakan ini mampu menjamin masa depan syarikat penerbangan kita ini dalam tempoh lima, 10 atau 15 tahun akan datang,” kata Izham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.