
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata sitaan dibuat dalam Op Luxury yang dijalankan sekitar Lembah Klang sejak tiga hari lalu.
Katanya, ‘lupa’ memperbaharui cukai jalan dan insurans menjadi alasan lazim yang tidak dapat diterima.
“Sebanyak 53 kenderaan mewah pelbagai jenama disita, dan tiga daripadanya dipandu oleh warga asing tanpa cukai jalan dan insurans, di mana ada antaranya disewa atau diberi oleh majikan mereka.
“Banyak lagi kita kesan, kita sudah ada senarai lebih 1,000 (kereta), dan saya bagi amaran kepada pemilik kenderaan mewah ini pastikan cukai jalan dan insurans diperbaharui,” katanya menurut Harian Metro.
Kifli turut menyuarakan kebimbangan pemilik kenderaan membenarkan warga asing memandu kenderaan mewah mereka tanpa lesen memandu sah.
Menurut laporan itu, turut disita melibatkan dua Lamborghini, selain sebuah McLaren, Aston Martin, dan BMW, yang dipercayai bernilai jutaan ringgit
Dalam pada itu, Kifli menjelaskan Op Luxury dilaksanakan bagi menangkis persepsi JPJ hanya menahan motosikal dan kereta biasa.
“Kalau katakan sebelum ini orang kata kita hanya tahan motosikal ataupun kereta biasa, tapi kita fokuskan yang ini (kereta mewah) di seluruh negara,” katanya.