
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah dan negara itu mempunyai hak wujud sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Katanya, Menteri Luar Mohamad Hasan memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri hari ini mengenai isu Palestin susulan mesyuarat khas diadakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atas koordinasi Arab Saudi dan Perancis, baru-baru ini.
“Wakil tetap Malaysia ke PBB telah diminta melihat dan menandatangani satu kenyataan bersama, tetapi keputusan kerajaan ialah kita perlu masa untuk meneliti (deklarasi).
“Jadi, waktu ini pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah. Pendirian kerajaan ialah negara Palestin itu punya hak untuk wujud dan kita tidak melihat kepada perkara-perkara lain,” katanya menurut Bernama pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya.
Fahmi berkata demikian mengulas laporan Qatar, Arab Saudi, dan Mesir antara 17 negara bersama Britain, Perancis serta Kanada, yang menandatangani deklarasi menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Gaza.
Kenyataan bersama dikeluarkan selepas persidangan peringkat tinggi di PBB itu turut mengutuk serangan Hamas pada 7 Okt 2023 terhadap Israel dan menuntut pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.
Media melaporkan deklarasi itu menyeru Hamas menyerahkan senjatanya kepada pihak berkuasa Palestin, sebagai sebahagian daripada usaha penyelesaian dua negara.
Sementara itu, Fahmi berkata Wisma Putra perlu diberikan sedikit masa untuk meneliti sepenuhnya dokumen berkenaan dan Jemaah Menteri telah meminta supaya menteri luar memberikan Kenyataan Menteri di Dewan Rakyat pada awal minggu depan berhubung dengan perkara itu.
“Kemungkinan antara hari Isnin ke hari Rabu. Oleh itu, saya percaya (Mohamad) akan menjawab dengan lebih menyeluruh, tetapi pendirian kerajaan tidak berubah,” katanya.