Hampir 30 Ahli Parlimen DAP lawat ibu pejabat Umno, dijemput Zahid

Hampir 30 Ahli Parlimen DAP lawat ibu pejabat Umno, dijemput Zahid

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menyifatkan lawatan sebagai yang pertama dalam sejarah DAP dan Umno serta mencerminkan kematangan dalam kerajaan perpaduan.

DAP MP
Ahli Parlimen DAP hadir ke ibu pejabat Umno untuk menghadiri taklimat berkaitan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) oleh Zahid Hamidi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hampir 30 Ahli Parlimen DAP telah melawat ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn awal minggu ini, yang disifatkan seorang pemimpinnya sebagai yang pertama dalam sejarah bagi kedua-dua parti.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata mereka hadir bagi menghadiri taklimat mengenai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang dikendalikan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga presiden Umno.

Zahid juga adalah pengerusi Majlis TVET Negara.

“Ia kali pertama sekumpulan besar Ahli Parlimen DAP melawat ibu pejabat Umno — satu petanda kematangan dan kerjasama dalam kerajaan perpaduan,” kata Chan dalam hantaran di Facebook.

“Kerajaan Madani bukanlah sempurna. Namun, kami serius dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Kami berusaha mengatasi perbezaan ideologi dan kepartian demi kemajuan negara. Pembinaan negara memerlukan perpaduan, bukan keseragaman, dan itulah semangat yang kami pegang.”

Antara pemimpin DAP hadir termasuk Setiausaha Agung Loke Siew Fook, Penasihat Lim Guan Eng dan Naib Pengerusi Chong Chieng Jen.

Turut hadir Naib Presiden Umno Johari Ghani dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Umno memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan apabila bergabung dengan bekas musuh politiknya, DAP, selepas PRU15.

Pada Jun 2023, Loke menyertai Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang pertama membabitkan pemimpin DAP.

Beberapa bulan kemudian, Zahid, Asyraf dan Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir pula hadir ke Konvensyen Kebangsaan DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.