4 pelajar ditahan kes pukul rakan sekelas

4 pelajar ditahan kes pukul rakan sekelas

Empat pelajar berusia 13 tahun itu direman dua hari hingga esok.

pukul mall kajang
Tangkap layar video tular memaparkan pengadu dipukul dua daripada empat rakan sekelas.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan empat pelajar lelaki berusia 13 tahun bagi membantu siasatan rakan sekelas mereka dipukul di sebuah pusat beli-belah di Kajang.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di daerah itu pada 12.57 tengah hari semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 11 pagi 30 Julai lalu, apabila pengadu dan rakan sekelasnya ke pusat beli-belah terbabit untuk membincangkan rasa tidak puas hati rakan sekelas terhadap pengadu.

“Dalam kejadian itu, terdapat video tular memaparkan pengadu dipukul dua pelajar, manakala dua lagi rakan (sekelas) mereka merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan cedera ringan di muka.

Katanya, empat pelajar itu ditahan di sekitar Kajang pada 8.35 malam semalam dan direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Beliau menasihatkan pelajar sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan menjauhi sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Shahrulhasram Ramli 017-2530380 atau balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.