Vape: Cukai prokesihatan tak memadai, kata pakar

Vape: Cukai prokesihatan tak memadai, kata pakar

Pakar berkata pengharaman penuh langkah lebih berkesan.

vape
Kerajaan umum cukai prokesihatan diperluaskan kepada tembakau, vape, dan alkohol ketika pembentangan RMK13.
PETALING JAYA:
Pakar kesihatan menyambut baik perluasan cukai ‘prokesihatan’ untuk merangkumi tembakau, vape, dan alkohol, walaupun mereka percaya lebih banyak perlu dilakukan, terutama untuk mengawal industri vape.

Setiausaha Agung Kehormat Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Sha’ani Abdullah, berkata perluasan cukai ke atas tembakau sudah lama tertunggak memandangkan ia belum disemak semula dalam tempoh hampir 10 tahun.

“Saya faham objektif mengenakan cukai ini adalah untuk mengurangkan penggunaan tembakau secara berkesan, tetapi memandangkan cukai ini tidak menyaksikan sebarang kenaikan selama bertahun-tahun, maka peningkatan ini perlu cukup besar.

“Lagipun, kita belum melihat pengurangan yang bermakna (dalam penggunaan tembakau) setakat ini,” katanya kepada FMT.

Sha’ani berpendapat memperluaskan cukai belum memadai dalam menangani kebimbangan berkaitan kesihatan awam terhadap rokok elektronik, mengulangi gesaan MCTC iaitu pengharaman penuh.

“Peningkatan penggunaan vape adalah masalah utama dan ini tidak dapat dinafikan. Bukan sahaja remaja menjadi mangsa malah kanak-kanak di sekolah rendah juga terdedah.

“Jadi, kami sebenarnya tidak bersetuju dengan (perluasan cukai) dalam hal ini. Vape harus diharamkan sepenuhnya.”

Dr. M Murallitharan, pengarah urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, berkata mereka yang terlibat dalam kesihatan awam menyambut baik perluasan ini kerana mereka menyokong kenaikan cukai ke atas produk-produk berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, perluasan sahaja tidak boleh jadi ‘penyelesaian mutlak’ dalam mengekang penggunaan nikotin, kerana lebih banyak perlu dilakukan untuk betul-betul berkesan.

“Susulan kepada cukai yang diperluaskan ini, adalah penting untuk memastikan harga vape dan rokok kekal setara. Jika tidak, orang ramai akan terus memilih produk vape sebagai pilihan alternatif yang lebih murah seperti yang mereka lakukan selama ini.

“Sudah tentu, bagi saya dan ramai lagi dalam bidang pendidikan kesihatan, matlamat akhir adalah orang ramai tidak mengambil nikotin sama sekali. Jika kita mengharamkan (vape), ia akan jauh lebih baik daripada sebarang cukai.”

Murallitharan berharap pendapatan tambahan yang diperoleh melalui cukai yang diperluaskan ini disalurkan ke sektor kesihatan awam.

Terdahulu hari ini, ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan cukai pro-kesihatan yang ketika ini hanya meliputi minuman bergula diperluaskan kepada tembakau, vape, dan alkohol.

Anwar berkata langkah ini untuk membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit dan mendorong perubahan tingkah laku.

Cukai tembakau semasa adalah 58.6% daripada harga runcit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.