
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat berkata kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum dan menilai keberkesanan sekolah khusus.
Katanya, pemerintah juga akan menambah baik model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat dalam usaha negara meningkatkan keberhasilan pendidikan.
“Tumpuan juga diberikan supaya bahasa Inggeris dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan manakala pembelajaran bahasa tambahan akan diperluas,” katanya.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata sistem pendidikan negara akan diperkemas supaya lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan.
“Untuk ini, perancangannya adalah supaya pendidikan prasekolah hingga menengah diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
“Manakala, pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan matlamat memperjelas bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata, mekanisme pengambilan guru daripada pelbagai sumber secara terbuka akan ditambah baik bagi memastikan peluang disediakan kepada calon yang benar-benar layak, berpotensi dan komitmen tinggi terhadap dunia pendidikan.
“Program latihan dan peningkatan kemahiran secara berterusan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru yang menjadi akar sistem pendidikan negara ini,” katanya.