Tak bincang naik harga gula selagi kerajaan bantu MSM, kata Shabery

Tak bincang naik harga gula selagi kerajaan bantu MSM, kata Shabery

Pengerusi Felda berkata cadangan naik harga sebelum ini dibuat susulan kenaikan harga gula mentah berkali ganda sehingga menyebabkan MSM rugi.

MSM malaysia sugar gula prai
Januari tahun lalu MSM mencadangkan harga gula peket kasar dinaikkan daripada RM2.85 sekilogram kepada RM3.85 selaras peningkatan kos pengeluaran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tiada perbincangan mengenai kenaikan harga gula selagi kerajaan terus membantu syarikat pengeluar utama negara, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) berdepan kenaikan harga gula mentah.

Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek, berkata kerajaan membantu menerusi insentif yang membolehkan MSM, anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) tidak lagi mengalami kerugian.

“Dalam tempoh ini, tiada perbincangan untuk menaikkan harga gula selagi mana kerajaan terus membantu dalam memberikan insentif kepada syarikat gula. Tempoh bantuan itu terpulang kepada kerajaan, tetapi sehingga hari ini, kerajaan masih memberi insentif.

“Bantuan kerajaan ini bukan sahaja menggembirakan orang ramai, tetapi juga menggembirakan para peneroka yang merupakan pemegang saham dalam syarikat gula tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Festival FGV sempena Hari Peneroka Felda 2025 di Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Hadir sama Pengerusi FGV Rastam Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Fakhrunniam Othman.

Januari tahun lalu, MSM mencadangkan kepada kerajaan harga gula peket kasar dinaikkan daripada RM2.85 sekilogram kepada RM3.85 selaras peningkatan kos pengeluaran.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kemudian memaklumkan kenaikan harga kawalan gula adalah antara perkara dikaji menerusi mekanisme baharu penentuan harga yang akan diputuskan Jun tahun ini.

Shabery hari ini berkata, cadangan menaikkan harga gula sebelum ini dibuat susulan kenaikan harga gula mentah yang berkali ganda, sehingga menyebabkan harga sebenar jauh melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan.

Keadaan ini menyebabkan MSM mengalami kerugian sehingga menjejaskan warga peneroka yang memegang saham dalam FGV dan Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF).

“Ada isu sebelum ini di mana harga gula mentah sangat tinggi, tetapi kerajaan mengawal harga jualan di pasaran. Ini menyebabkan MSM mengalami kerugian. Bila MSM rugi, pemegang saham juga akan rugi, termasuklah para peneroka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.