Polis ambil keterangan 60 saksi kes kematian Zara Qairina

Polis ambil keterangan 60 saksi kes kematian Zara Qairina

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk unsur buli.

Jauteh Dikun
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata siasatan kini di fasa akhir dan kes itu akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah mengambil keterangan 60 saksi, termasuk rakan dan guru berhubung kes kematian pelajar sebuah sekolah agama di Papar, Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk unsur buli.

“Siasatan kematian pelajar yang ditemui jatuh dari bangunan sekolah kini di fasa akhir.

“Kes ini akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh,” katanya menurut Berita Harian selepas sambutan Hari Pahlawan peringkat Sabah di IPK Sabah, Kota Kinabalu.

Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar.

Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui kira-kira 3 pagi 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Remaja itu disahkan meninggal dunia di HQE I pada 11 pagi keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.