
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin, berkata operasi pemadaman itu menggunakan helikopter Mi-171 dengan teknik “underslung water bombing”.
“Empat kali pengeboman dilakukan pada 3.30 petang membabitkan keseluruhan 6,360 liter air yang dilepaskan ke kawasan kebakaran.
“Tindakan pantas ini berjaya memperlahankan pergerakan api dan mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan.
Tetapi, operasi terpaksa dihentikan selepas 42 minit susulan masalah teknikal sistem pesawat.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa komponen perlu diganti dan alat ganti akan dihantar pihak penyelenggara melalui jalan darat malam ini.”
Beliau berkata, operasi semalam dijalankan dalam keadaan berjerebu dengan jarak penglihatan sekitar 8km serta angin bertiup pada kelajuan 10 hingga 15 knot.
Menurutnya, kebakaran belukar di Mukah dikesan sejak 24 Julai lalu dan usaha pemadaman digerakkan secara berperingkat sejak itu.
“Pasukan bomba melaksanakan pemantauan udara serta membuat laluan penghadang api bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke ladang sawit dan kawasan penempatan berhampiran.”
Katanya, pengeboman air ialah langkah tambahan selepas kebakaran sukar dikawal melalui kaedah pemadaman konvensional di darat disebabkan kawasan luas dan sukar diakses.
Nicholas berkata, operasi akan disambung semula hari ini jika pesawat dalam keadaan selamat dan boleh digunakan.