
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata cadangan yang dikemukakan pihaknya itu masih relevan dan perlu dikuatkuasakan segera.
Menurutnya, beliau akan menemui Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Shuhaily Mohd Zain untuk membincangkan isu itu.
Beliau berkata, sindiket dipercayai menerima bayaran antara RM500 hingga RM2,000 bergantung kepada negara terbabit aktiviti ‘pasport terbang’.
“Isu utama yang timbul di sini adalah tahap integriti pegawai terlibat.
“Pegawai imigresen yang terbabit dalam kegiatan sindiket ‘counter setting’ dan ‘pasport terbang’ perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk dipecat.
“Tindakan tegas langkah terbaik bagi memastikan integriti pegawai bertugas di pintu masuk dan keluar negara sentiasa terpelihara,” katanya menurut Harian Metro.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata pihaknya sedia bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan AKPS membabitkan isu ‘counter setting’ dan ‘pasport terbang’ di pintu masuk negara.
Beliau berkata, pihaknya menahan lebih 50 anggota disyaki terbabit kegiatan ‘counter setting’ tahun lalu.
“Bermula Januari lalu, AKPS mengambil alih fungsi dan kawalan pintu masuk, jadi pemantauan kini di bawah tanggungjawab agensi terbabit.”
Sebelum ini, media melaporkan empat pegawai penguat kuasa disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan ‘pasport terbang’ di kaunter penyeliaan zon masuk motosikal di sempadan Johor-Singapura direman enam hari.
Perintah reman ke atas semua suspek berusia 20 hingga 40-an itu sehingga esok dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas.
Dua suspek utama ditahan Unit Pematuhan AKPS ketika pemeriksaan di kaunter, manakala dua lagi ditahan susulan penahanan pertama.