Harga berpatutan, telur gred khas dijual mulai esok

Harga berpatutan, telur gred khas dijual mulai esok

Langkah itu seiring penstrukturan semula harga telur ayam oleh kerajaan.

telur supermarket
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata penstrukturan semula subsidi telur dibuat bagi optimumkan perbelanjaan kerajaan.
PETALING JAYA:
Pemain industri bersetuju memperkenalkan telur gred khas pada harga lebih berpatutan mulai 1 Ogos, sebagai langkah segera memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga di pasaran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan langkah itu seiring penstrukturan semula harga telur ayam yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa esok, sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa bagi memastikan keberkesanan dan impak yang lebih lestari.

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kementerian itu, penstrukturan semula subsidi penting bagi mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, selepas hampir RM2.5 bilion dibelanjakan bagi menampung subsidi telur ayam antara Feb 2022 hingga Dis 2024 semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

“Kini dengan keadaan pasaran semakin stabil, subsidi ini disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus,” katanya.

KPKM turut memakluman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh pemantauan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membanteras sebarang manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil,” katanya.

Rakyat juga boleh mendapatkan telur ayam dengan harga kompetitif melalui program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.