Dr M cabar bubar Parlimen tak masuk akal, kata Ahli Parlimen DAP

Dr M cabar bubar Parlimen tak masuk akal, kata Ahli Parlimen DAP

Syahredzan Johan berkata gesaan Dr Mahathir Mohamad ketika negara dan seluruh dunia berdepan ketidaktentuan global juga sebagai tidak bertanggungjawab.

Syahredzan Johan Mahathir Mohamad
Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan (kiri) berkata masa Dr Mahathir Mohamad sudah berlalu dan bekas perdana menteri itu perlu benarkan orang lain memimpin negara.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata gesaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya PRU diadakan sekarang sebagai ‘tidak masuk akal’, dan menegaskan bahawa rakyat mahukan kestabilan politik dan bukannya satu lagi pilihan raya.

Syahredzan dalam satu kenyataan berkata gesaan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, khususnya ketika Malaysia dan seluruh dunia sedang berdepan ketidaktentuan termasuk perang perdagangan global dan konflik ketenteraan.

“Majoriti rakyat Malaysia tidak mahu pilihan raya sekarang. Mereka mahukan kerajaan yang stabil,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru sahaja membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di tengah-tengah ketidaktentuan global, termasuk keputusan tarif AS serta konflik serantau yang berterusan, seperti ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.

“Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran global ini. Apa yang kita perlukan sekarang ialah sebuah kerajaan yang kukuh, dipimpin oleh seorang ketua yang mampu mengemudi negara menghadapi badai ini,” katanya.

Terdahulu hari ini, Mahathir mencabar Anwar membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU.

“Kalau Anwar benar-benar berani, bubarlah Parlimen dan adakan pilihan raya sekarang. Tak perlu takut – sekutu dia kata hanya 15,000 orang hadir perhimpunan itu. Mesti dia akan menang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar tidak perlu bimbang kerana penyokong kerajaan mendakwa hanya 15,000 hadir pada Himpunan Turun Anwar’ yang berlangsung pada Sabtu lalu.

“Dia tentu menang. Dengan PRU, Anwar akan tahu rakyat sokong dia atau tidak. Anwar bukan pilihan rakyat untuk jadi Perdana Menteri.

“Kalau Anwar benar-benar berani, bubar sahaja Parlimen dan adakan PRU sekarang. Dia tak perlu takut kerana konco-konconya melaporkan hanya 15,000 orang hadir perhimpunan. Dia mesti menang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mahathir merujuk kepada perhimpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu yang mendesak Anwar letak jawatan. Polis menganggarkan kira-kira 18,000 orang menyertai perhimpunan itu, namun penganjur iaitu Pemuda PAS mendakwa lebih 200,000 orang hadir.

Syahredzan turut menggesa Mahathir agar menghormati proses demokrasi dan tempoh Parlimen sedia ada.

“Pilihan raya pasti akan datang bila tiba masanya. Tetapi sekarang bukan masanya. Tempoh matang Parlimen pun belum sampai lagi.

“Tolonglah Tun Mahathir, masa Tun sudah berlalu. Kami masih hormat pada Tun, tetapi ini masanya orang lain memimpin negara,” katanya.

Beliau juga merayu jangan memperjudikan masa depan rakyat dan generasi akan datang demi untuk memenuhi kehendak politikus yang mementingkan diri sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.