Bungkus dadah RM200,000 macam coklat gagal perdaya kastam

Bungkus dadah RM200,000 macam coklat gagal perdaya kastam

Antara dadah dirampas termasuk ketulan mampat ganja dan bunga ganja seberat 27kg menggunakan perkhidmatan kurier.

WAN JAMAL ABDUL SALAM WAN LONG
Pengarah Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (kanan), berkata dadah itu diseludup masuk dari Thailand. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Taktik licik sindiket menyeludup pelbagai jenis dadah lebih RM200,000 menggunakan kurier termasuk membungkus bahan terlarang menyerupai coklat dan gula-gula dipatahkan kastam Kelantan.

Pengarah Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata hasil maklumat orang awam membawa kepada serbuan pada 15 Julai oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor terhadap sebuah premis kurier di kawasan perindustrian Mara, Pengkalan Chepa.

Beliau berkata, pemeriksaan yang turut disaksikan kakitangan syarikat kurier menemukan 14 kotak pelbagai saiz disimpan dalam sebuah kotak plastik berdaftar milik syarikat itu.

“Semua kotak itu mengandungi pelbagai jenis dadah dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggan, termasuk ketulan mampat ganja seberat 26.05kg bernilai RM85,981, bunga ganja 1.10kg bernilai RM110,000, ketamin 0.11kg bernilai RM5,500, MDMA HCI 0.004kg bernilai RM200,000 serta 10 biji pil kuda bernilai RM100,000,” katanya menurut Bernama di Kota Bharu.

Wan Jamal berkata, siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand sebelum dihantar ke beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, dan Perlis berdasarkan alamat pada bungkusan dirampas.

“Taktik sindiket amat licik, mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membungkus dadah menyerupai produk makanan seperti coklat dan gula-gula.”

Menurutnya, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan syarikat kurier bagi mengesan penghantar bungkusan dadah tersebut dan membanteras kegiatan pengedaran menggunakan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.