Perhimpunan PN makan diri, tersepit isu calon PM, kata penganalisis

Perhimpunan PN makan diri, tersepit isu calon PM, kata penganalisis

Syaza Shukri berkata isu poster boy PN hanya sepatutnya dibincangkan menjelang PRU16 tetapi kini diperdebatkan semula.

pn leader Perikatan Nasional Selangor
Wujud perbincangan di kalangan anggota dan pemimpin PN berhubung calon perdana menteri yang pada PRU15 digalas Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Perhimpunan pembangkang di ibu negara, Sabtu lalu dilihat memakan diri apabila Perikatan Nasional (PN) kini kembali terpalit kepada persoalan calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PRU16, kata penganalisis.

Selepas kecoh beberapa kali berkait isu itu, Syaza Shukri berkata perkara terbabit kembali diperkatakan memandangkan tema perhimpunan yang mendesak Anwar Ibrahim turun dari kedudukan sebagai perdana menteri.

Ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata isu poster boy sepatutnya boleh dibincangkan apabila PRU16 hampir tiba.

“Tapi kita faham orang ramai nak tahu siapa calon perdana menteri untuk PN, lagi-lagi cabaran supaya Anwar Ibrahim ‘turun’ menyebabkan orang tertanya-tanya?.

“Kalau bukan sebab perhimpunan, ia tidak akan jadi isu buat masa ini,” katanya kepada FMT.

Menurut Syaza, persoalan itu turut disuarakan pemimpin komponen PN seperti Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang menyatakan PN hanya akan memutuskan siapa calon perdana menterinya selepas gabungan berkenaan mengambil alih tampuk pentadbiran Putrajaya.

Hashim turut menyatakan PAS mempunyai beberapa pemimpin berwibawa untuk jawatan itu. Namun sebelum ini, beberapa bahagian Bersatu di Terengganu meluluskan usul menyokong Presiden Muhyiddin Yassin sebagai poster boy PN.

“Keadaan itu tidak begitu baik kerana orang melihat hubungan Bersatu dan PAS semakin retak.

“Mungkin tidak tetapi nampak begitu, namun ia berisiko boleh jejaskan sokongan kepada PN kalau pengundi hilang kepercayaan,” katanya.

Felo Majlis Professor Negara Azmi Hassan turut senada kegagalan mencapai kata sepakat berhubung calon perdana menteri boleh mendedahkan pergolakan dalaman PN.

Beliau berkata kenyataan Hashim itu juga akan memberikan kesan kepada pengundi yang bukan hanya mahu mengundi calon pilihan raya tetapi memilih perdana menteri dengan memberi kemenangan kepada parti.

“Ini masalah besar PN yang bercita-cita menubuhkan kerajaan persekutuan dengan mendakwa lebih baik berbanding pemerintah sekarang.

“Tetapi satu perkara asas yang paling mudah iaitu siapa calon perdana menteri pun mereka tak boleh bersetuju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.