
Menterinya, Tiong King Sing berkata, jumlah itu terdiri daripada RM597.5 juta dalam bentuk simpanan tetap, RM237.2 juta pelaburan hartanah, dan RM5.2 juta daripada fi penyertaan.
Katanya, antara Oktober 2024 hingga 30 Jun tahun ini sahaja, 3,019 permohonan telah diterima di bawah program MM2H baharu itu.
“Jumlah ini meliputi 48 permohonan di bawah kategori Platinum, 137 permohonan di bawah kategori Gold (Emas), 2,434 permohonan di bawah kategori Silver (Perak) dan 400 permohonan di bawah kategori Zon Ekonomi Khas atau Zon Kewangan Khas (SEZ/SFZ),” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
“Daripada jumlah tersebut, 1,294 permohonan telah membuat pengesahan (endorsement pass) MM2H merangkumi sebanyak 19 peserta di bawah kategori Platinum, 61 peserta di bawah kategori Gold, 1,020 peserta di bawah kategori Silver dan 194 peserta di bawah kategori SEZ/SFZ.”
Tiong berkata, kesan limpahan ekonomi daripada dasar baharu MM2H itu turut memberi manfaat kepada sektor-sektor lain seperti pendidikan, kesihatan dan insurans.
“Angka ini bukan sahaja mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan tetapi juga membuktikan keyakinan mereka terhadap kestabilan ekonomi serta prospek jangka panjang negara,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau), yang meminta maklumat terkini mengenai program MM2H dan sejauh mana syarat kelayakan yang disemak semula itu berjaya meningkatkan hasil negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Pada Mac, agensi teknologi hartanah IQI berkata, program MM2H yang ditambah baik itu membawa kepada penempatan deposit tetap berjumlah RM455.8 juta di bank-bank tempatan sejak Jun 2024.
Memetik data rasmi, IQI memaklumkan, jumlah ini dicapai susulan 782 kelulusan di bawah dasar terbaru MM2H, yang diperkenalkan pada pertengahan 2024.
Mengikut syarat-syarat baharu program itu, peserta diwajibkan membeli dan memiliki sebuah rumah dengan nilai pembelian minimum RM600,000 untuk kategori Perak, RM1 juta untuk Emas, dan RM2 juta untuk Platinum.
Bagi permohonan di bawah kategori SEZ/SFZ, harga pembelian minimum tertakluk pada syarat kerajaan negeri masing-masing.