
Beliau berkata, Malaysia komited memacu pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), mempercepat Grid Tenaga Asean serta memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean bagi menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini.
“Justeru, Asean akan terus bersuara, menjamin kerukunan serta memimpin dengan ketegasan, dan tidak sekadar mengikut susun atur orde global,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Menurutnya, dunia kini dirundung ketegangan kuasa besar, perlumbaan geoekonomi melelahkan dan keruntuhan multilateralisme.
Justeru, katanya, Asean tidak boleh lemah, berpecah dan ketinggalan, sebaliknya mesti bersatu bagi memperkukuh peranan Asean serta memastikan suara rantau ini terus dihormati.
Sebagai contoh, beliau berkata, Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 telah memimpin usaha mendamaikan Kemboja dan Thailand, yakni dua negara tetangga yang hampir terseret ke kancah konflik lebih dahsyat.
“Dengan penglibatan aktif China dan Amerika Syarikat, kita berjaya capai persetujuan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat.
“Ini bukti betapa diplomasi mesti memayungi usaha kita menjelmakan keamanan dan kepimpinan yang tegas.”
Anwar, yang dalam lawatan kerja ke Indonesia, turut memaklumkan beliau julung kali tampil di Gedung Sekretariat Asean berpusat di Jakarta sempena peranan penting Malaysia selaku pengerusi blok itu tahun ini.
“Ia antara lain menggaris serta menonjolkan lambang komitmen kita yang tidak berbelah bahagi terhadap cita dan semangat Asean yang kental dan luhur.”